SIBU: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas didapati tidak pulang ke rumah sejak malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral menerima panggilan dari Balai Polis Lanang yang melaporkan seorang lelaki dewasa dikhuatiri hilang.
“Berdasarkan maklumat daripada orang awam, penemuan sebuah motorsikal di atas Jambatan Lanang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu menyatakan pada 1 petang tadi, pasukan keluaran operasi (PKO) memulakan pencarian di permukaan air dalam radius tiga kilometer (km) dari mangsa dikhuatiri hilang.
“Pada 4.30 petang, kerja-kerja mencari dan menyelamat diteruskan lagi pada keluasan radius 5km ke hulu dan hilir sungai.
“Pada 5.25 petang operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan dan akan disambung semula esok,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada orang hilang (OH), telah membuat laporan polis menyatakan anaknya bernama Aaron Wisely telah keluar rumah untuk memeriksa wang gajinya di bank pada kira-kira jam 8 malam tadi.
“Sehingga laporan dibuat anaknya belum balik ke rumah kediaman mereka di kem BN 10 PGA Sibu.
“Ketinggian mangsa lebih kurang 180 sentimeter dan kali terakhir dilihat memakai baju berwarna hitam dan seluar sukan hitam panjang,” katanya.
Gambar
PASUKAN BOMBA…..Menjalankan operasi SAR mangsa pada keluasan radius 5km ke hulu dan hilir sungai.