DEBAK: Sebuah lori kargo membawa muatan perabot terbakar sebanyak 60 peratus di Jalan Rapong dekat Simpang Debak menghala ke Saratok, malam tadi.
Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong telah menerima panggilan kecemasan sekitar 11.19 malam berhubung kebakaran tersebut.
Dalam pada itu, seramai lima anggota BBP Betong telah dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan bagi bantuan operasi pemadaman.
“Sampai lokasi kejadian, kebakaran melibatkan sebuah lori kargo jenis Nissan membawa muatan perabot telah 60 peratus terbakar berhampiran di Jalan Rapong dekat Simpang Debak menghala ke Saratok.
“Lori tersebut bergerak dari Kuching menghala ke arah Sibu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muhammad Rais berkata, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan pam jentera tangki bomba menggunakan dua aliran dengan dua nozel sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan dan operasi terkawal pada 2.30 pagi dan pemadaman tamat sepenuhnya sekitar 3.00 pagi,” katanya.