KOTA SAMARAHAN: Orang ramai boleh menyaksikan Alat-Alat Kebesaran Diraja secara digital dalam bentuk tiga dimensi (3D) pada pameran ‘Raja Kita’ yang berlangsung di pusat beli-belah Summer Mall di sini mulai hari ini hingga Ahad, 8 September.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, peralatan tersebut tidak dapat dipamerkan secara fizikal kepada orang ramai pada pameran kerana faktor peraturan-peraturan tertentu.
“Saya percaya bahawa pameran yang dibawa dalam bentuk digital ini sudah mencukupi kerana kita boleh tatal dan menyemak imbas skrin yang disediakan oleh kita selaku penganjur pameran.
“Saya rasa ia sudah cukup sebab kita boleh melihat secara terperinci apa yang ada dipaparkan di laman web yang disediakan oleh pihak Muzium Diraja.
“Oleh itu, saya meminta supaya kalau boleh ‘soft copy’ atau pautan itu disimpan atau terus diakses di Sarawak melalui Jabatan Penerangan (JAPEN) atau Unit Protokol Sarawak kerana ini memberi peluang kepada kita di negeri ini untuk mengakses maklumat yang ada dalam laman web tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pameran tersebut sempena sambutan perayaan Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17 Peringkat Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Julaihi yang juga menteri bertanggungjawab bagi acara tersebut menjelaskan bahawa pameran itu penting kerana Yang di-Pertuan Agong adalah lambang perpaduan bagi rakyat Malaysia.
Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Dato Idris Buang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris dan Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak, Helmy Hamid.
Mengenai Pameran ‘Raja Kita’, antara barangan yang dipamerkan adalah peralatan dan pakaian serta biografi Sultan Ibrahim semasa zaman kanak-kanak sehingga hari pertabalan Seri Paduka Baginda pada Julai lalu.
Selain pameran itu, terdapat dua majlis kesyukuran berasingan iaitu di masjid Al Mutaqqin oleh masyarakat Islam pada petang esok (6 September) dan satu lagi, di Dewan Suarah Kota Samarahan oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) pada malam ini.
Majlis jamuan teh juga akan diadakan di dewan DeTAR Putra Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Sabtu ini (7 September).
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar and Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri masing-masing antara 500 tetamu jemputan pada sesi majlis jamuan teh itu.
Oleh Mohd Neenatul Aizal
Gambar
Dato Sri Julaihi Narawi ketika melawat Pameran ‘Raja Kita’ yang berlangsung di pusat beli-belah Summer Mall, Kota Samarahan hari ini.