SARIKEI: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) telah mengiktiraf Gua Niah sebagai Tapak Warisan Dunia yang kelima di Malaysia.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pengiktirafan tersebut adalah pada 27 Julai 2024.
“Sebelum Gua Niah, di Malaysia hanya ada empat Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Sekarang kita sudah mempunyai lima termasuk Gua Niah yang diiktiraf oleh UNESCO pada 27 Julai 2024.
“Lima tapak warisan dunia tersebut yang berada di Malaysia, dua daripadanya di Sarawak iaitu Taman Negara Gunung Mulu (2000) dan Gua Niah (2024).
“Sementara itu, tiga lagi adalah Taman Kinabalu (2000) di Sabah, Lembah Lenggong (2012) di Perak serta Bandar Bersejarah Selat Melaka dan George Town di Pulau Pinang (2008),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelancongan Sarawak (STTC) kali ke-2, bertempat di bilik mesyuarat Pejabat Residen Sarikei, petang semalam.
Katanya, pengiktirafan terbaharu daripada UNESCO tersebut akan meningkatkan lagi kehadiran pelancong ke Miri, Sarawak.
“Ahad lalu, saya membawa 130 orang dari Brunei, Bintulu dan Miri ke Gua Niah.
“Tujuannya adalah untuk mempromosi Gua Niah kepada pelancong dari dalam dan luar negeri.
“Ia merupakan lokasi yang bagus dan saya percaya kita perlu bersedia untuk menerima kemasukan pelancong datang ke Miri kerana bila mereka melawat ke Miri, mereka akan datang ke Taman Negara Gunung Mulu dan Gua Niah,” katanya.
Oleh Earl Anek