KUCHING: Pembinaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baharu iaitu Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Samalaju, Bintulu langkah penting untuk keselamatan Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan ini adalah tepat kerana lokasinya strategik dan berharap pembinaannya dipercepatkan.
“Ia berdekatan dengan beberapa aset penting negara seperti Lapangan Gas Kasawari dan Beting Patinggi Ali, yang berada dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan.
“Kehadiran pangkalan ini akan membantu mengukuhkan kawalan keselamatan di sepanjang pesisir pantai dan perairan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian festival ‘What About Kuching’ (WAK) 2024 edisi ke-6 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Abdul Karim baru-baru ini menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan penempatan pangkalan TLDM di Sarawak untuk menjamin kedaulatan perairan negara, terutama dalam menghadapi konflik dan tuntutan wilayah di Laut China Selatan.
Beliau turut dilaporkan berkata gesaan itu turut mengambil kira perkara yang akan berlaku dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang khususnya membabitkan keselamatan perairan negara sukar dijangka.
Sementara itu Abdul Karim berkata, majoriti kawasan pantai dan pelantar di Bintulu atau Sarawak merupakan kawasan sumber gas wilayah ini.
“(Selain itu terdapat sumber) minyak kita dan banyak lagi serta hidupan marin yang perlu dilindungi dengan baik,” katanya.
Sebelum ini, Menteri pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan sebagai berkata pembinaan MAWILLA 4 di Bintulu, masih di peringkat penyelesaian isu tanah.
“Peruntukan tahun ini untuk pembayaran duit premium (tanah) MAWILLA 4 sudah ada. Selepas selesai soal pembelian tanah nanti kita akan kemukakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan dan kosnya juga akan ditentukan kemudian,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN
Gambar
Abdul Karim pada sidang media selepas majlis pengumuman kalender aktiviti WAK 2024 di Kuching malam tadi. Foto HERRIEY NAHA