DALAT: Mayat warga emas lelaki mangsa tragedi pelanggaran bot di Sungai Batang Oya telah ditemukan oleh cucunya, tengah malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahau, Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah menerima panggilan dari IPD Dalat yang melaporkan mangsa telah dijumpai terapung oleh cucumya pada jam 12.30 tengah malam.
“Mangsa dijumpai terapung di Sungai Klid, Batang Oya iaitu satu kilometer (km) dari lokasi kejadian pelanggaran bot.
“Anggota bomba seterusnya telah bergegas ke IPD Dalat bagi pengesahan maklumat,” katanya.
Beliau berkata mayat Dos Katiek, 81, telah diserahkan kepada pihak polis di Jeti Lebrasau pada 1.45 pagi, dan telah dibawa ke Hosptal Dalat bagi tujuan pengesahan kematian mangsa.
“Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 7.20 pagi Isnin lalu, mangsa mengemudi perahu seorang diri menghala dari Kampung Klid menuju ke Kampung Sua manakala sebuah lagi perahu panjang dikemudi seorang guru dari arah bertentangan.
Setibanya di satu selekoh di Batang Oya, kedua-dua bot perahu panjang tersebut tidak sempat mengelak antara satu sama lain lalu bertembung.
Mangsa dipercayai jatuh ke dalam Sungai Batang Oya dan hilang, dikhuatiri lemas.
Oleh AKUN GIMAN
Gambar
MAYAT MANGSA….Diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.