KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi komitmen agar agensi penguatkuasaan syariah seperti Jabatan Agama Islam Sarawak, Pendakwaan dan Mahkamah Syariah terus dipertahan serta diperkasakan dari semasa ke semasa agar setanding dengan agensi lain bagi menjalankan fungsi dan peranan menyeluruh.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana jabatan-jabatan tersebut merupakan institusi yang melaksanakan tuntutan perundangan syariah dan kehakiman syariah yang memartabatkan syiar Islam.
“Prinsip undang-undang ialah untuk menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga keturunan (nasab), menjaga akal dan menjaga harta.
“Lima prinsip ini adalah relevan dengan Maqasid Syariah dan merupakan teras kepada perundangan dalam Islam,” katanya
Abang Johari berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi dan Hal Ehwal Islam, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi pada majlis perasmian Seminar Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Peringkat Sarawak di Kompleks Islam Sarawak, hari ini.
Katanya lagi, dalam konteks ini, negeri ini bertuah kerana mempunyai sistem perundangan Islam yang membolehkan umat Islam menjalani kehidupan berlandaskan tuntutan syariah.
“Ini termasuk dalam hal-hal yang berkaitan dengan undang-undang keluarga Islam, zakat, fitrah, sedekah, wakaf, baitulmal, jenayah syariah dan lain-lain.
“Di Malaysia, pemakaian undang-undang Islam dinyatakan dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri-Negeri dan Akta, Ordinan serta Enakmen yang berkaitan.
“Saya percaya jaminan perlembagaan terhadap pelaksanaan undang-undang syariah adalah antara rahmat yang dikurniakan oleh Allah SWT ke atas umat Islam di negara ini yang wajib disyukuri oleh kita semua,” katanya.
Sehubungan itu, ujarnya, setiap lapisan masyarakat harus berperanan mengekalkan keharmonian, keamanan dan kestabilan dalam masyarakat majmuk.
Selain itu, tegasnya, pembudayaan nilai-nilai murni dalam semua sektor kehidupan perlulah menjadi agenda utama agar kesejahteraan dan keamanan berterusan dalam kitaran hidup bermasyarakat.
Oleh Nur Ain Otsman