KAPIT: Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bena Sungai Sut yang rosak teruk ditenggelami banjir baru-baru ini perlu dibina semula.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, berkata memandangkan struktur asal sekolah itu yang dibina pada 1963, ia sudah tidak lagi mampu menahan impak bencana alam yang semakin kerap berlaku.
“Keselamatan nyawa anak-anak, guru-guru, serta kakitangan di sekolah ini perlu diberi perhatian serius.
“Melakukan kerja baik pulih sahaja tidak mencukupi untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka pada masa hadapan,” katanya melalui hantaran di Facebooknya hari ini.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit turut melawat sekolah itu yang mengalami kerosakan teruk apabila hampir keseluruhan kawasan sekolah ditenggelami banjir baru-baru ini.
Katanya, air bah yang naik mendadak telah menenggelamkan bangunan sekolah menyebabkan kerugian besar dan menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar serta kakitangan sekolah.
“Dalam kejadian tersebut, seramai 30 pelajar bersama guru-guru dan kakitangan yang sedang nyenyak tidur dikejutkan oleh banjir yang melanda tanpa sebarang amaran.
“Ketakutan dan kesusahan yang mereka alami tidak dapat dibayangkan, apatah lagi dengan keadaan sekolah yang sudah lama dan uzur,” katanya.
Nanta turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menyelamatkan mangsa banjir serta kerja-kerja pembersihan di kedua-dua sekolah tersebut.
“Sebagai Ahli Parlimen Kapit, saya akan berusaha sehabis baik untuk mendapatkan fasiliti sekolah yang terbaik bagi anak-anak dan guru-guru di sini,” katanya.
Bagi meringankan beban pihak sekolah, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, telah menyumbangkan masing-masing RM30,000 dan RM10,000 untuk kerja-kerja pembersihan serta pembelian keperluan segera bagi pelajar.
Selain itu, mereka juga meninjau keadaan di SK Rantau Panjai yang turut terjejas akibat banjir dan menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada pihak sekolah tersebut.
Oleh TARANI LANTING
Gambar
Sekitar lawatan Nanta ke kawasan SK Nanga Bena yang ditenggelami air bah baru-baru ini.