SIBU: Tarikh 31 Ogos mungkin membawa pengertian yang berbeza antara rakyat di Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengertian berlainan ini tidak harus menjadi halangan kepada rakyat antara ketiga-tiga wilayah untuk saling hormat menghormati bagi membina Malaysia yang progressif dan utuh.
“Apa yang lebih penting sebagai rakyat Malaysia dengan semangat ‘Segulai Sejalai’ ialah rakyat Sarawak dan Sabah menghormati tarikh ini sebagai tarikh yang begitu penting untuk rakyat di Semenanjung dan kepada negara, sama seperti menghormati tarikh 16 September yang amat penting kepada bukan sahaja kepada rakyat di Sabah dan Sarawak tetapi juga kepada negara keseluruhannya,” katanya.
Abang Johari berkata demikian semasa berucap pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Beliau berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang akur dengan pandangan yang berbeza ini mengenai tarikh 31 Ogos dan 16 September dan telah bersetuju supaya 31 Ogos tidak lagi dinamakan sebagai Hari Kemerdekaan tetapi dikenali sebagai Hari Kebangsaan sejak 2015.
“Pada pandangan saya tarikh-tarikh ini tidak lagi harus dipolemikkan tetapi apa yang lebih penting ialah tarikh-tarikh tersebut dihormati dan difahami pengertiannya oleh semua rakyat negara ini supaya rakyat negara ini terus dapat memberi tumpuan kepada usaha pembinaan dan pembangunan negara.
“Kita harus terus bergerak ke hadapan dan tidak dikongkong oleh sentimen tersebut dan mengabaikan tanggungjawab bersama kepada negara,” katanya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada masyarakat di Sibu yang diberi penghormatan pada kali ini untuk menjadi tuan rumah kepada sambutan perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak pada tahun ini.
Katanya, sudah menjadi amalan di Sarawak yang menggilir-gilirkan perayaan utama antara 12 bahagian supaya rakyat sama-sama mempunyai peluang untuk menghayati pengertian setiap perayaan.
“Pendekatan ini sama juga dengan inisiatif untuk memberi peluang kepada bandar-bandar lain selain bandar raya Kuching untuk menjadi tuan rumah kepada acara-acara tertentu pada SUKMA ke-21 yang lepas.
“Dengan kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat di Sibu ini daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir untuk memeriahkan sambutan pada kali ini,” katanya.
Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isterinya Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan isteri Premier Sarawak Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Menteri bertangggungjawab Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024, Dato Sri John Sikie Tayai; Menteri-menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri, ketua jabatan dan sekitar 1,500 tetamu yang lain.
Oleh AKUN GIMAN dan TARANI LANTING
Gambar
Abang Johari (empat dari kiri) bersama barisan tetamu kehormat yang lain mengibarkan bendera Jalur Gemilang.