Veteran TLDM Sarawak hargai keprihatinan kerajaan dalam Belanjawan 2027

Facebook
WhatsApp
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga merangkap Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2027. Foto Bernama

SIBU, 1 Oktober: Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Sarawak menyambut baik pengumuman bantuan khas kewangan kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan semalam.

Yang Dipertua PVTLDM Cawangan Sarawak, Pegawai Waran 1 (B) Unyok Dasi berkata, bantuan itu mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap jasa dan pengorbanan veteran tentera, selain membantu meringankan beban kos sara hidup mereka.

Beliau berkata, golongan veteran, khususnya bekas anggota TLDM di Sarawak, amat menghargai keprihatinan berterusan kerajaan terhadap kebajikan mereka menerusi empat Belanjawan MADANI sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui pentadbiran negara.

“Kami amat terharu dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana tidak pernah melupakan jasa serta pengorbanan veteran tentera.

“Sejak Belanjawan MADANI pertama hingga keempat, veteran ATM termasuk bekas anggota TLDM di Sarawak terus menerima penghargaan menerusi bantuan khas kewangan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Unyok berkata, bantuan itu dapat menambah sumber kewangan penerima, khususnya untuk menampung keperluan dan perbelanjaan harian.

Sehubungan itu, beliau menasihati veteran TLDM di Sarawak yang layak menerima bantuan berkenaan supaya menguruskan kewangan secara berhemat dan mengelakkan pembaziran. – Bernama