SIBU: Lebih 10,000 orang peserta menyertai ‘Fun Walk’ sempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak di Dataran Tun Tuanku Bujang, pagi ini.
Acara tersebut diserikan dengan penyertaan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isterinya Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Upacara perlepasan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024, Dato Sri John Sikie Tayai.
Perjalanan sebanyak 2.4 kilometer berjalan lancar dengan peserta mengibarkan Jalur Gemilang dan Ibu Pertiwi di sepanjang jalan.
Terdahulu, acara dimulakan dengan senamrobik di Dataran Tun Tuan Bujang Fasa I.
Masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama telah menyertai acara mencermin semangat perpaduan yang kukuh.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang dan Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.
Oleh Akun Giman