MANCHESTER: Pengurus Liverpool, Arne Slot menghadapi ujian getir pertamanya apabila berkunjung ke Manchester United, Ahad ini.
Slot sudah memulakan tugasnya yang mencabar untuk menggantikan Jurgen Klopp dengan permulaan yang sempurna, meraih dua kemenangan dari dua perlawanan pertama Liga Perdana tanpa dibolosi.
Peluang pertama Slot untuk benar-benar mengagumkan penyokong Liverpool hadir di salah satu stadium yang paling kurang digemari Klopp ketika dua kelab paling berjaya dalam bola sepak Inggeris bertemu di Old Trafford.
Walaupun Liverpool meraih kedudukan liga yang lebih baik sepanjang hampir sembilan tahun pemerintahan Klopp, beliau hanya memenangi dua dari sebelas perlawanan di United.
Ia termasuk kekalahan 3-4 di suku akhir Piala FA dan keputusan seri 2-2 pada saingan Liga Perdana musim lalu yang menyebabkan kemerosotan Liverpool dalam beberapa bulan terakhir di bawah kendaliannya.
Namun, tekanan mungkin lebih berat dihadapi pengurus Belanda di bangku lawan.
Erik ten Hag mendapat sokongan dari pihak atasan dalam struktur sukan baru United pada akhir musim lalu walaupun menamatkan musim itu di tempat kelapan, pencapaian terburuk dalam Liga Perdana.
Harapan untuk menyaksikan kebangkitan Red Devils musim ini tercalar selepas kelab itu mengalami kekalahan di awal musim.
Gol kemenangan lewat permainan menerusi Joshua Zirkzee pada penampilan sulungnya sekurang-kurangnya memastikan permulaan yang berjaya ketika menentang Fulham.
Namun kekalahan 1-2 kepada Brighton hujung minggu lalu menunjukkan tanda-tanda sama yang menyebabkan United bergelut di bawah kendalian Ten Hag sebelum ini.
Satu lagi kekalahan di laman sendiri kepada seteru utama mereka akan sekali lagi membangkitkan persoalan mengenai masa depan bekas pengurus Ajax itu. – AFP
Gambar
Slot (kanan) galas tugas sukar apabila berkunjung ke Old Trafford, Ahad ini. Foto AFP