ROBAN: Dua insiden kerosakan kabel yang berlaku secara berasingan pada 24 Ogos lalu telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Roban dan Saratok.
Gangguan ini turut menyebabkan gangguan pada menara telekomunikasi SACOFA di kawasan tersebut, sekali gus menjejaskan perkhidmatan mudah alih dan internet di sekitar kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) , kerosakan kabel pertama disyaki berpunca daripada kerja-kerja pengorekan, mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di Jalan Kwong Ming, Selalang, Sebangkoi, dan Roban pada jam 11.44 pagi.
Katanya, setelah dimaklumkan mengenai insiden tersebut, Syarikat SESCO Berhad (SESCO), iaitu cabang operasi SEB, segera menghantar pasukan teknikal mereka ke lokasi kejadian.
“Bekalan elektrik berjaya dipulihkan di Saratok dan Roban pada pukul 2.05 petang, manakala kawasan lain termasuk infrastruktur telekomunikasi kembali menerima bekalan pada jam 3.43 petang pada hari sama.
“Namun, keadaan cuaca yang buruk menyebabkan kelewatan dalam usaha mengesan kerosakan di Bukit Sebangkoi, dan kerja-kerja pembaikan hanya berjaya diselesaikan pada pukul 5.15 pagi (26 Ogos),”katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, insiden kerosakan kedua turut berlaku pada hari sama melibatkan alat penangkap kilat pada jam 8.21 malam.
“Seorang pelanggan di Roban memaklumkan kepada SESCO setelah melihat voltan rendah dan percikan api di kawasan Sungai Paoh.
“Pasukan teknikal SESCO segera ke lokasi dan mengenal pasti punca masalah yang telah menjejaskan bekalan elektrik di Saratok, Roban, dan Kabong.
“Penutupan kecemasan dilakukan pada pukul 10.40 malam bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan, dan bekalan elektrik berjaya dipulihkan sepenuhnya beberapa jam kemudian sekitar pukul 12.34 pagi,” jelasnya.
Pengurus Besar Elektrifikasi Luar Bandar SEB, Nazry Abdul Latip, dalam kenyataan sama mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang terjejas atas kesabaran dan sokongan mereka sepanjang tempoh gangguan tersebut.
“Kami menyedari kesulitan dialami oleh pelanggan dan menghargai pemahaman orang ramai ketika pasukan kami berusaha memulihkan bekalan elektrik secepat mungkin di bawah keadaan yang mencabar,” katanya.
Kenyataan sama turut menyatakan, Sarawak Energy terus komited untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan kecekapan sistem bekalan elektriknya melalui pelaburan berterusan dalam teknologi moden, bekalan sokongan, dan infrastruktur.
“Pasukan teknikal kami sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia 24 jam sehari untuk bertindak balas terhadap sebarang gangguan bekalan elektrik, sama ada berskala kecil atau besar.
“Orang ramai yang ingin melaporkan gangguan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy yang beroperasi 24/7 di talian 1300-88-3111, melalui e-mel di customercare@sarawakenergy.com, menggunakan aplikasi mudah alih atau portal web SEB Cares, atau berhubung dengan CARINA,”katanya.
Gambar
PUNCA…Dua kabel elektrik yang mengelami kerosakan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Roban dan Saratok.