SIBU: Kesepaduan sosial yang terbina di Sarawak selama ini banyak menyumbang kepada perpaduan nasional dan pembentukan identiti bangsa Malaysia.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Sibu, Datin Sharifah Zaidah Syed Abdul Aziz berkata kerencaman kaum, agama, budaya dan warisan tradisi dapat hidup di bawah satu bumbung perpaduan, wajar dipertahankan.
“Kita harus bersama-sama mengekalkan kesepaduan sosial yang ada dengan memperkasa semangat perpaduan serta meletakkan seluruh jiwa dan raga kita untuk mempertahankan kemerdekaan yang sedang kita kecapi,” katanya pada Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Sibu 2024 di bangunan PERKIM Sibu, hari ini.
Beliau berkata, program ini merupakan pendekatan kerajaan bagi memastikan usaha untuk menyemarakkan perasaan cintakan negara dapat meresapi rakyat pelbagai peringkat di seluruh negara melalui kibaran.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Helmy Hamid menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya di Daerah Sibu agar bersatu hati ‘Segulai Sejala’.
“Dengan mengibarkan Jalur Gemilang menghiasi bangunan-bangunan kerajaan, sekolah, gedung beli-belah, kawasan perumahan, kampung-kampung, rumah panjang, mahupun di sepanjang jalan raya kediaman.
“Ini adalah sebagai tanda cita dan bangga kepada Malaysia negara tercinta dengan dalam suasana muhibah,” katanya.
Pada majlis tersebut, Sharifah Zaidah telah melakukan upacara perlepasan konvoi KMJG.
Pada 31 Ogos ini, konvoi KMJG yang dipelopori oleh JAPEN Sarawak akan turut serta bersama di dalam sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Dewan Canselor Tun Abdul Tailb Mahmud, UTS Sibu (UTS) yang akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Konvoi KMJG ini membawa misi dan semangat kenegaraan melalui kibaran Jalur Gemilang diringi lagu-lagu patriotik di sepanjang penjelajahan mereka menyelusuri Bumi Kenyalang.
Turut hadir ialah Pegawai Penerangan Daerah Sibu Zaini Morshidi.
Oleh AKUN GIMAN