SIBU: Pertandingan bakat yang dikenali sebagai Arena Of Dreams 2024 akan diadakan pada 17 Disember depan di Dataran Tun Tuanku Bujang sempena Karnival Krismas Sibu 2024.
Pengerusi jawatankuasa penganjur Kaunselor Wong Kim Choon berkata, pertandingan itu terbuka kepada semua peringkat umur dan bakat, termasuk nyanyian, tarian dan persembahan muzik.
“Pemenang utama akan membawa pulang wang tunai RM3,000 serta akan dijemput membuat persembahan pada malam kiraan detik Tahun Baharu.
“Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, borang boleh dimuat turun dari laman sesawang MPS https://smc.gov.my atau diperoleh dari pejabat MPS di Sibu,” katanya.
Mengulas lanjut berkenaan karnival bertemakan Disneyland itu,Wong berkata, antara tarikan pengunjung ke dataran kelak ialah pokok Krismas setinggi 40 kaki serta taman salji tertutup.
Jelasnya, taman salji tertutup diperkenalkan buat julung kalinya di Sibu sempena karnival tersebut.
Selain itu, katanya, dataran juga bakal dihiasi dengan pelbagai dekorasi Krismas seperti lampu.
Beberapa acara lain, ujar Wong, turut dirancang.
Ini, katanya, termasuk pertandingan menghias pokok Krismas, malam Zumba Krismas, pertandingan bakat dan gerai makanan yang menawarkan pelbagai juadah tempatan dan antarabangsa.
“Karnival ini akan berlangsung dari 17 hingga 25 Disember, di mana setiap malam akan diadakan persembahan di pentas utama dataran.
“Acara seperti Zumba Krismas pada 21 Disember dan pertandingan bakat pada 17 Disember akan menjadi tarikan utama, selain persembahan oleh gereja-gereja tempatan pada malam-malam lain,” jelasnya.
Beliau memberitahu, kawasan karnival tahun ini telah diperluas ke fasa kedua dataran untuk menampung lebih banyak aktiviti dan pengunjung.
“Dengan skala yang lebih besar, kami berharap untuk menarik lebih ramai pengunjung dan menjadikan acara ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya.
Menyentuh tentang pertandingan menghias pokok Krismas yang akan diadakan pada 25 November hingga 31 Disember, Wong menjelaskan, pertandingan adalah terbuka kepada semua kumpulan yang berminat di Sibu, dengan penyertaan terhad kepada 12 kumpulan.
Hadiah utama bagi pertandingan ini adalah wang tunai RM3,000 dan nama pemenang akan diumumkan pada ambang Tahun Baharu 31 Disember nanti.
Oleh Akun Giman