KUCHING: Festival Busking Antarabangsa Kuching (KIBF) 2024 bukan sahaja bakal berlangsung meriah Sabtu ini dengan himpunan lebih 40 penghibur jalanan dari pelbagai seni persembahan, malah penyanyi jalanan turut berpeluang memenangi wang tunai berjumlah keseluruhan lebih RM4,000.
Jurucakap KIBF 2024 menerusi satu kenyataan berkata, para penghibur ini akan diletakkan di pelbagai lokasi ikonik di sekitar Jalan Carpenter, Tebingan Kuching, India Street dan Plaza Merdeka.
“Penyanyi jalanan juga akan berpeluang memenangi hadiah utama termasuk RM2,000 (tempat pertama), RM1,500 (tempat kedua) dan RM800 (tempat ketiga) manakala 10 orang lagi akan menerima hadiah sagu hati.
“Selain itu, festival itu menampilkan beberapa anugerah khas bagi mengiktiraf bakat cemerlang iaitu Anugerah Pilihan Rakyat Plaza Merdeka, Anugerah Artis Baru Muncul Kitaran Benua, dan Anugerah Bakat Terbaik Hartanah Petra Jaya Bawah 18 Tahun.
“Pada edisi kali ini, festival ini turut menyediakan Sudut Penceramah bagi platform untuk perbincangan terbuka dan pertukaran idea, membolehkan komuniti terlibat dalam perbualan bermakna mengenai pelbagai topik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, festival yang berkonsepkan warisan budaya Kuching dan semangat perpaduan ini melibatkan sekolah tempatan seperti St. Thomas, St. Mary, Saint Teresa, SMK Batu Lintang dan Kolej Vokasional Matang.
Selain itu, festival ini dijangka akan menarik ratusan pengunjung dengan memberi impak kepada perniagaan tempatan dan mempromosikan Kuching sebagai destinasi budaya yang dinamik.
“Kami menjemput orang ramai untuk hadir dan menikmati festival ini, sama ada anda peminat muzik, tarian atau sebagainya,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman Instagram di @KIBF_2024.