SYDNEY (Australia): Penglibatan secara aktif dalam ekonomi hidrogen meletakkan Sarawak sebagai peneraju global dalam tenaga bersih di kalangan negara-negara ASEAN.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak kini pemain utama kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia dengan membangunkan hab hidrogen hijau.
Katanya, kelebihan ini dipacu oleh potensi kuasa hidro yang luas di negeri ini.
“Ekonomi baharu dan menarik ini membuka banyak peluang untuk pelaburan, daripada membangunkan teknologi baharu seperti elektroliser dan sel bahan api kepada membina sistem penyimpanan tenaga dan mengintegrasikan penggunaan dalam sektor pengangkutan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan ASEAN – Australia 2024 bertajuk ‘The Powerhouse Of Green Economy In ASEAN’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Sydney hari ini.
Abang Johari berkata ketika berucap di forum Teknologi Hidrogen Eropah Tengah di Poznan, Poland April lalu beliau menekankan kepentingan kerjasama global yang kritikal, dasar berkesan dan inovasi tanpa henti dalam membina masa depan yang mampan.
“Saya juga telah menyerlahkan bagaimana bon hijau dan pembiayaan antarabangsa penting untuk mempercepatkan penggunaan teknologi iklim maju, menunjukkan bahawa kaedah kewangan ini adalah kunci untuk menjadikan cita-cita mampan kami menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata Sarawak bukan sekadar mengejar tenaga mampan dan ekonomi hijau, malah komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih.
Katanya, ini melalui usaha menyahkarbon sektor pemancar tinggi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Sarawak seiring dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Dengan melabur dalam hidrogen hijau dan tenaga bersih, Sarawak bergerak melangkaui industri tradisional seperti minyak, gas dan kayu.
“Matlamat saya jelas, untuk meningkatkan produktiviti ekonomi dan mengurangkan pelepasan.
“Dengan menerima inovasi dan tenaga bersih, kita berusaha untuk memastikan Sarawak membina masa depan yang berkembang dengan penuh tanggungjawab dan menjadi model untuk diikuti oleh orang lain,” katanya.
Abang Johari berkata, Sarawak turut mengorak langkah di Asia Tenggara apabila terlibat dalam industri Pemerapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), malah menjadi negeri pertama di Malaysia meluluskan undang-undang yang menyokong industri dan aktiviti berkaitan karbon lain.
“Ini menunjukkan komitmen kuat Sarawak untuk mencapai matlamat pelepasan sifar bersih dan menetapkan penanda aras untuk diikuti oleh negara lain.
“Menjelang 2030, kita menyasarkan untuk menjadikan tenaga solar membentuk 12 peratus daripada jumlah campuran kapasiti kami.
“Ini bukan sahaja akan membantu kita mengurangkan jejak karbon tetapi juga menyumbang kepada sektor tenaga yang lebih mampan dan mesra alam,” tambahnya.
Sementara itu, enam penceramah jemputan lain turut mengambil peluang membincangkan visi ekonomi hijau yang disampaikan oleh Premier Sarawak dalam diskusi khas kira-kira sejam.
Mereka ialah Pengarah Zen Energy Profesor Ross Garnaut AC; Pengarah Kelestarian Global dan Hal Ehwal Luar, Fortescue, Australia, Bronwyn Grieve; Pengarah NSW Circular Economy Innovation Network Profesor Veena Sahajwalla; Pengerusi Viva Energy, Hon Robert Hill Ac; Pengerusi Enserv Holdings Thailand ,Jimmy Tanachat Porchana dan Pengarah Acclimate Partners, Brisbane Australia Luisa Cass.
Turut mengiringi Premier Sarawak ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni; Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman.