Puluhan orang utan diselamatkan daripada kebakaran di Indonesia

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA Agensi Pemuliharaan Sumber Asli (BKSDA), Yayasan Penyelamatan Orang Utan Borneo (BOSF) dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Indonesia memindahkan seekor orang utan berusia 20 tahun susulan kebakaran hutan dan tanah di Kampung Hampangen, Kabupaten Katingan, Kalimantan Tengah. Foto AFP

JAKARTA, Indonesia: Puluhan orang utan yang terancam kritikal telah diselamatkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini daripada kebakaran hutan yang merebak di seluruh Indonesia dan menyelubungi rantau ini dengan jerebu beracun, menurut kumpulan pemuliharaan.

Kebakaran itu mencetuskan tempoh pencemaran udara yang berlarutan selama beberapa bulan sehingga menyebabkan sekolah ditutup, meningkatkan kes masalah pernafasan dalam kalangan manusia dan haiwan serta mengehadkan aktiviti luar di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Timor-Leste.

Tahap pencemaran udara di seluruh rantau ini sekali lagi berada pada kategori tidak sihat hingga sangat tidak sihat hari ini, dengan banyak kawasan di selatan Asia Tenggara diselubungi jerebu beracun.

Pemantau kualiti udara berpangkalan di Switzerland, IQAir, sekali lagi menyenaraikan Singapura dan Kuala Lumpur dalam kalangan 10 bandar utama paling tercemar di dunia pada petang ini.

Kebakaran di pulau Borneo dan Sumatera, yang semakin marak akibat fenomena cuaca El Niño yang luar biasa kuat, terus mengeluarkan asap.

Di Indonesia, beberapa kumpulan sedang berusaha menyelamatkan hidupan liar daripada kebakaran itu, termasuk orang utan.

Semalam, agensi pemuliharaan Kalimantan Barat dan pertubuhan bukan untung Indonesia, YIARI, memaklumkan bahawa pasukan mereka memindahkan 51 orang utan dari beberapa lokasi di wilayah itu sejak 6 Ogos hingga hari ini.

TANGKAP layar daripada video yang dirakam pada 26 September 2026 oleh Yayasan Penyelamatan Orang Utan Borneo (BOSF), diperoleh AFPTV dan dikeluarkan pada 8 Oktober, menunjukkan pemandangan dari udara seekor orang utan betina yang dikenali sebagai Novita sedang berehat di atas pokok, dikelilingi asap akibat kebakaran hutan dan tanah di Katune, Kampung Banturung, daerah Bukit Batu, Kalimantan Tengah. Foto AFP

Sementara itu, angka daripada Kementerian Kehutanan Indonesia menunjukkan bahawa jumlah orang utan yang diselamatkan sejak beberapa bulan lalu di Kalimantan mungkin mencecah 96 ekor.

Pegawai tidak dapat dihubungi serta-merta untuk mengesahkan jumlah berkenaan.

Tiga agensi pemuliharaan menyelamatkan seekor orang utan jantan berusia 20 tahun di Kampung Hampangen, Kalimantan Tengah, di pulau Borneo semalam.

“Proses pemindahan dilakukan dengan penuh berhati-hati,” menurut kenyataan agensi berkenaan.

“Selepas orang utan itu diberikan ubat pelali, pasukan perubatan segera menjalankan pemeriksaan kesihatan sebelum membawanya ke pusat pemulihan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Pengangkutan Indonesia turut memaklumkan bahawa kira-kira 2,400 penerbangan di seluruh negara terjejas akibat jerebu sejak pertengahan Ogos.

“Jerebu mengurangkan jarak penglihatan di sekitar lapangan terbang, sekali gus boleh menyebabkan kelewatan, gangguan operasi dan pembatalan penerbangan,” menurut kementerian itu.

– ‘Hujan tidak mencukupi’ –

Di Singapura, kepekatan PM2.5, iaitu zarah halus pencemar udara, kekal tinggi di kawasan barat hari ini, dengan Indeks Piawaian Pencemaran (PSI) bagi tempoh 24 jam berada pada kategori “sangat tidak sihat”.

Walaupun PM2.5 merupakan pencemar utama ketika episod jerebu dan salah satu daripada enam petunjuk yang digunakan untuk mengira PSI keseluruhan Singapura, kedua-duanya bukan ukuran yang sama.

Wang Jingyu, pakar sains atmosfera yang berpangkalan di Singapura, berkata rantau ini sedang mengalami fenomena cuaca El Niño super.

“Disebabkan fenomena El Niño super yang melanda seluruh Asia Tenggara, suhu permukaan laut lebih rendah daripada biasa,” kata Wang.

“Dalam keadaan ini, suhu permukaan laut yang lebih rendah bermakna penyejatan air dari laut tidak mencukupi,” sekali gus menyebabkan kekurangan hujan, katanya kepada AFP.

“Kita tidak menerima hujan yang mencukupi, menyebabkan kebakaran sukar dipadamkan.” – AFP