SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) zon Sibu telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi hujan lebat dan ribut petir yang dijangka melanda Sabah dan Sarawak hingga minggu depan.
Ketua JBPM Zon 4 Sibu, Andy Alie berkata, pihak bomba telah menambah baik kelengkapan menyelamat, jentera, aset marin dan keanggotaan.
“Sebagai langkah proaktif, sumber tambahan dari balai berdekatan akan dikerahkan bersama peralatan menyelamat yang diperlukan.
“Komunikasi dengan agensi penyelamat lain juga dipertingkatkan untuk memastikan respons yang pantas dan berkesan,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang meningkatkan rondaan di kawasan berisiko tinggi dan melancarkan kempen kesedaran awam untuk mendidik masyarakat mengenai langkah-langkah keselamatan semasa hujan lebat.
“Pusat operasi kecemasan juga telah disediakan untuk bertindak segera jika berlaku insiden,” katanya.
Beliau memberitahu, beberapa kawasan rendah dan berhampiran tebingan sungai juga telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi.
“Pasukan bomba akan memantau kawasan ini dengan teliti dan bersedia untuk sebarang kemungkinan evakuasi jika diperlukan,” katanya.
Andy juga berkata, JBPM Zon Sibu bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), agensi pengurusan bencana dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kerjasama ini melibatkan perkongsian maklumat cuaca, sumber serta penyelarasan operasi menyelamat,” katanya.
Oleh Akun Giman