KUALA LUMPUR: Pelabur asing kembali ke Bursa Malaysia berikutan jualan besar-besaran pada minggu sebelumnya, mencatat pembelian bersih ekuiti Malaysia berjumlah RM299.6 juta, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).
Menerusi laporan aliran dana bagi minggu berakhir 16 Ogos, MIDF berkata, walaupun pelabur asing mencatat jualan bersih RM74.3 juta hari ini, mereka adalah pembeli bersih untuk tempoh berbaki minggu berkenaan.
“Jumaat merupakan hari paling kukuh dalam pembelian bersih dengan merekodkan RM288.3 juta.
“Tiga sektor teratas yang menarik pembelian bersih daripada pelabur asing minggu lepas adalah perkhidmatan kewangan (RM620.6 juta), telekomunikasi dan media (RM93.9 juta), dan pengangkutan dan logistik (RM40.8 juta),” katanya.
Sementara itu, tiga sektor teratas yang menyaksikan penjualan bersih oleh pelabur asing adalah teknologi (RM143.8 juta), hartanah (RM113.3 juta), dan produk dan perkhidmatan perindustrian (RM100.7 juta).
Pelabur institusi tempatan adalah pembeli bersih pada Isnin berjumlah RM55.7 juta, sebelum beralih kepada jualan bersih untuk sepanjang minggu.
“Secara keseluruhan, mereka mencatat jualan bersih berjumlah RM328.9 juta.
“Bagaimanapun, peruncit tempatan adalah pembeli bersih pada sepanjang minggu, dengan belian bersih sebanyak RM29.3 juta,” kata MIDF.
Sementara itu, purata jumlah dagangan harian menyusut melibatkan semua kelas pelabur.
Peruncit tempatan mencatat penurunan paling ketara berjumlah 45.0 peratus, diikuti oleh institusi tempatan pada 39.9 peratus dan pelabur asing pada 43.5 peratus. – Bernama