SEPANG: Penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh susulan ketegangan di negara itu berlepas pada 7.30 pagi ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini.
Penerbangan AirAsia menggunakan pesawat Airbus A320 wide body atau badan lebar yang mampu memuatkan 350 penumpang itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada 9.20 pagi (waktu tempatan).
Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah Kementerian Luar Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin yang mengetuai misi berkenaan berkata lebih 100 rakyat Malaysia termasuk pelajar telah ditempatkan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sejak semalam.
“Misi ini sebenarnya dirancang sejak 12 Julai, pelaksanaannya pula mengambil masa paling singkat, kurang 12 jam.
“Sebaik sahaja dapat ‘lampu hijau’ daripada Pesuruhjaya Tinggi kita di Bangladesh, kami dapatkan kapal terbang, namun ada kelewatan sedikit dan tidak dapat dimulakan semalam sebab kita diminta tunggu untuk pastikan pelajar-pelajar kita sampai di Suruhanjaya Tinggi kita di Dhaka,” katanya kepada Bernama.
Shazelina berkata, pesawat membawa pulang rakyat Malaysia dijangka berlepas dari Dhaka pada 10.00 pagi (waktu tempatan) dan dijangka tiba di tanah air kira-kira 4.20 petang di KLIA Terminal 2.
Sebanyak 15 petugas daripada Wisma Putra, Jabatan Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengikuti misi itu.
Wakil Bernama yang mengikuti misi berkenaan ialah Penolong Editor (Perkhidmatan Berita Am) Nik Nurfaqih Nik Wil bersama jurufoto Muhammad Izzuddin Abd Radzak.
Semalam, Anwar ketika merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di sini dilaporkan berkata kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh kerana mengutamakan keselamatan mereka, berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu.
Beliau berkata, ia susulan pemantauan Kementerian Luar terhadap perkembangan mutakhir di Bangladesh. – Bernama