MIAMI: Kapten Argentina, Lionel Messi berharap agar beliau cepat pulih daripada kecederaan buku lali yang dialaminya semasa kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Colombia dalam perlawanan akhir Copa America, kelmarin.
Penyerang berusia 37 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-66 perlawanan di Hard Rock Stadium, Miami Gardens, Florida selepas terjatuh dan mengalami kecederaan buku lali.
“Saya baik-baik saja, syukur dan saya harap tidak lama lagi saya boleh beraksi di atas padang dan melakukan perkara yang paling saya sukai,” kata penyerang itu dalam catatan media sosial, lapor Xinhua.
Messi turut memberi penghargaan kepada rakan sepasukannya, termasuk bintang yang akan bersara, Angel Di Maria, selepas Albiceleste menjadi pasukan pertama yang berjaya mempertahankan gelaran Copa America dan menjulang trofi Piala Dunia.
“Saya sangat gembira, terutamanya kerana kami mencapai matlamat kami dan meskipun Fide (Di Maria) meninggalkan kami, tetapi dengan satu lagi trofi.
“Pemain yang lebih tua seperti beliau, Ota (Nicolas Otamendi) atau saya, kami mengharunginya (kejuaraan) dengan kegembiraan dan keterujaan. Kami adalah satu pasukan dan juga sebuah keluarga, satu kumpulan yang hebat,” kata pemain itu.
Walaupun turut merayakan kemenangan Argentina, bekas penyerang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu akan menjalani pemeriksaan dalam tempoh beberapa hari akan datang untuk menentukan tahap kecederaannya. – Bernama – Xinhua