PUTRAJAYA: Pasangan suami isteri pempengaruh media sosial dipercayai terlibat dalam isu penyelewengan wang kutipan derma direman empat hari bagi membantu siasatan.
Turut direman empat hari bermula hari ini sehingga 14 Julai ialah dua individu yang dipercayai pengarah sebuah platform kutipan derma yang disyaki terlibat.
Perintah reman terhadap kesemua suspek itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin yang membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Menurut sumber SPRM, kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.
Semalam pasangan suami isteri ditahan pada 6.40 petang manakala dua lagi suspek pada tengah malam tadi selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Sebelum ini, pasangan berkenaan didakwa membuat kutipan derma melebihi jutaan ringgit namun didakwa wang itu tidak disalurkan secara betul.
Terdahulu, pasangan tersebut serta dua suspek itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret 9.18 pagi dengan berbaju lokap SPRM warna jingga dan tangan digari ketika dibawa ke mahkamah. – Bernama