SEOUL: Bandaraya bersejarah Gyeongju yang terletak di tenggara Korea Selatan dipilih untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025, kata Kementerian Luar, semalam.
Jawatankuasa Persediaan untuk Sidang Kemuncak APEC mengadakan mesyuarat awal hari ini dan memilih Gyeongju, kira-kira 280 kilometer tenggara Seoul, sebagai lokasi untuk sidang kemuncak yang dijadualkan pada November depan, lapor agensi berita Yonhap menurut kenyataan akhbar kementerian.
Sidang Kemuncak APEC 2025 akan dihoskan di Korea Selatan buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun sejak sidang sebelumnya diadakan di bandar pelabuhan tenggara, Busan pada 2005.
Semasa mesyuarat itu, jawatankuasa berkenaan juga memutuskan untuk memanfaatkan dua bandar calon lain, Incheon di barat Seoul dan pulau peranginan di selatan, Jeju dengan menganjurkan pelbagai mesyuarat menteri dan pegawai kanan yang berkaitan dengan Sidang Kemuncak APEC.
Gyeongju, salah satu destinasi pelancongan paling popular di negara ini, adalah ibu kota Dinasti Silla (57 SM-935 M). – Bernama – Yonhap