KUALA LUMPUR: Lima rang undang-undang diluluskan pada minggu pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15.
Ia melibatkan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 serta Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023.
Turut diluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) Malaysia (Pindaan) 2024 yang bertujuan memindahkan fungsi MAVCOM kepada CAAM.
Sementara itu Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 bagi meminda Akta Audit 1957 (Akta 62) pula dibentangkan untuk bacaan kali pertama.
Persidangan minggu ini turut menyaksikan Dewan Rakyat meluluskan usul bagi merujuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat susulan dakwaan pertuduhan kes mahkamah yang dikenakan terhadapnya boleh dibatal dan digugurkan.
Usul dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said itu bagi menentukan sama ada kenyataan dibuat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkenaan mengelirukan dewan dan merosakkan kepentingan pihak yang berbicara dalam kes tersebut.
Turut mencuri tumpuan minggu ini ialah penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu penjualan saham Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang menurut beliau, soal penjualan itu tidak berbangkit memandangkan pemilikan majoriti saham kekal milik pemain negara.
“Ini berbeza dengan naratif di luar. Naratif di luar seolah-olah penjualan tetapi tidak. Selama ini, syarikat asing memiliki sekitar 27 peratus dan inilah yang diambil alih oleh GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).
“Apakah kita ada penjualan melibatkan lapangan terbang? Tidak. Ini hanya melibatkan pengurusan dan MAHB hanya syarikat yang menguruskan lapangan terbang. Lapangan terbang kekal milik kerajaan Malaysia,” kata Anwar.
Minggu pertama juga menyaksikan Azalina membentangkan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan 2022 dan dibahaskan oleh 27 Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, sesi perbahasan dan penggulungan bagi usul itu akan bersambung pada persidangan Dewan Rakyat minggu depan.
Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 15 hari sehingga 18 Julai ini. – Bernama