KUALA LUMPUR: Cubaan dua lelaki mencuri kabel gagal apabila seorang daripada mereka ditemukan maut selepas terjatuh dari tingkat 23 sebuah apartmen di Kajang Utama, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada saksi awam pada 8.20 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-duanya suspek, masing-masing berusia 31 dan 29 tahun, cuba melarikan diri selepas perbuatan mereka disedari pihak keselamatan apartmen terbabit.
“Suspek yang berusia 29 tahun tergelincir dan terjatuh ke tingkat empat bangunan apabila cuba melompat ke aras lain sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seorang lagi suspek ditahan bersama enam gulung wayar tembaga serta beberapa peralatan memotong wayar kabel dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod jenayah lampau.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala lelaki yang maut dikenal pasti memiliki 10 rekod jenayah lampau,” katanya.
Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes Insp K Suresh di talian 017-4333795. – Bernama