SIBU: Festival ‘What About Kuching’ (WAK) akan diadakan di Sibu dari 25 hingga 28 Julai depan di Pusat Warisan Sibu, Jalan Central di sini.
Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Mohammed Abdullah Izkandar Roseley berkata, WAK ialah platform festival terbuka khusus untuk seni, budaya dan gaya hidup.
“Festival yang sangat popular ini diadakan di Sibu bagi mempromosikan seni, budaya dan gaya hidup tempatan serta meningkatkan pelancongan di kawasan ini.
“Kami mengalu-alukan semua komuniti kreatif di Sibu dan kawasan sekitarnya untuk datang dan menjadi sebahagian daripada perayaan yang menarik ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau memberitahu bahawa sejak ditubuhkan sebagai festival akar umbi pada 2017, WAK telah berkembang menjadi acara penting dalam kalendar pelancongan kita, menarik seramai 277,766 penonton pada tahun lalu.
Pertumbuhan dan kejayaan berterusan ini, katanya, telah mendorong Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, untuk memperluaskan acara ini ke lain-lain bandar di Sarawak, khususnya Sibu dan Miri.
Sementara itu, Pengurus Festival WAK Brendan Chin berkata, festival bertemakan ‘Raikan Seni, Budaya dan Gaya Hidup’ adalah inisiatif baharu MPS yang diilhamkan oleh kejayaan WAK yang popular di Sarawak.
Menurutnya, orang ramai yang berminat turut serta dalam WAK Sibu boleh mengemukakan cadangan program melalui laman web rasmi festival bermula 24 hingga 30 Jun ini.
Katanya, maklumat lanjut dan panduan penghantaran boleh didapati di www.aboutkuching.com atau https://bit.ly/waksibucfp.
“Festival ini tidak hanya menjadi landasan hiburan tetapi merupakan peluang memperkukuh hubungan serantau dan antarabangsa dalam bidang seni dan budaya.
“Program Kalendar WAK Sibu 2024 diumumkan pada 11 Julai, menjanjikan pengalaman mendalam bagi penduduk tempatan dan pengunjung menyertai festival ini,” katanya.
Oleh Tarani Lanting