KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) sentiasa bersifat menyeluruh dan tidak mengira latar belakang dalam memperkasakan belia di Sarawak.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, semua lapisan masyarakat di negeri ini akan menikmati kemakmuran dan kemajuan Sarawak termasuk memperkasakan belia di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kuching.
Katanya, perkara ini sudah termaktub dalam salah satu teras utama Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
“Pemilihan tema ‘Tiada Yang Tertinggal’ bagi Riben Merah MYSED ini adalah bertepatan dengan tekad semangat membangunkan belia Sarawak di setiap pelusuk tanpa mengira latar belakang mereka.
“Premier Sarawak sering menegaskan generasi muda mengalas tanggungjawab besar di dalam menjaga masa depan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali sempena perasmian program Riben Merah MYSED di PUSPEN Kuching di sini, hari ini.
Tambah Abdul Karim, dalam usaha memperkasakan lagi belia-belia di negeri ini, lebih banyak program pembangunan belia sedang dirangka di peringkat Sarawak, kebangsaan dan antarabangsa.
“Ia adalah usaha untuk mengantarabangsakan belia Sarawak agar setaraf dengan belia dari negara maju lain.
“Seperti yang dinyatakan oleh Premier Sarawak semasa Sambutan Hari Belia yang lalu, belia merupakan obor kepada Sarawak dan merupakan tunjang kekuatan dan kesejahteraan masyarakat di masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 260 klien PUSPEN Kuching telah terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 20 hingga 22 Jun ini.
Dato Sri Abdul Karim berharap agar klien-klien yang telah terlibat akan mempunyai kualiti, wawasan serta matlamat ke hadapan selepas tamatnya tempoh pemulihan mereka.
Oleh Mohd Neenatul Aizal