SIMANGGANG: Sejumlah 60 pin darah telah berjaya diperoleh melalui Kempen Derma Darah 2024 anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) cabang Sri Aman, baru-baru ini.
Jurucakapnya memberitahu, kempen yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia itu telahpun berlangsung di pejabat persatuan berkenaan dekat bulatan merpati dalam bandar ini.
“Kempen yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 1.00 petang itu menyaksikan seramai 70 penderma darah hadir dengan 60 daripada mereka berjaya melepasi saringan kesihatan bagi tujuan itu.
“Daripada 60 individu berkelayakan berkenaan, lapan individu adalah merupakan para penderma darah baharu bagi kempen derma darah yang dianjur untuk kali ini,” kata jurucakapnya.
Selain itu, pihak Hometown Pharmacy Sri Aman juga turut hadir bagi menjayakan kempen ini dengan mengadakan sesi saringan tahap gula dan kolestrol dalam darah secara percuma terhadap orang ramai.
Malah, pihak Hometown Pharmacy Sri Aman katanya juga turut mengadakan promosi dan jualan produk kesihatan terhadap orang ramai yang hadir pada kempen berkenaan.
“Kadet Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang dan kakitangan Unit Tabung Darah Hospital Sri Aman juga hadir bagi membantu mengendali perjalanan aktiviti bagi kempen ini.
“Justeru, kami berharap agar orang ramai tidak melepaskan peluang untuk hadir pada kempen derma darah akan datang bagi membantu para pesakit yang memerlukan pada masa akan datang,” katanya.
Oleh Valentine Ngumbang