PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan menganjurkan Seminar Cukai Keuntungan Modal (SCKM) dengan kerjasama Persatuan Alumni Hasil Dalam Negeri (AIRA) dan Persatuan Pegawai Eksekutif Hasil Dalam Negeri (EXEC) pada Julai dan Ogos ini.
Dalam kenyataan hari ini, LHDN berkata, seminar itu akan diadakan secara dalam talian menerusi webinar pada 18 Julai, 1 dan 15 Ogos, manakala pada 8 Ogos ia akan diadakan secaera bersemuyka.
Kadar yuran bagi seminar secara dalam talian adalah RM150 dengan dua mata Continuing Professional Development (CPD) manakala yuran bagi kehadiran fizikal adalah RM350 dengan tiga mata CPD.
LHDN berkata pelaksanaan seminar itu adalah susulan Rang Undang-undang Kewangan (No. 2) 2023 yang menguatkuasakan cadangan langkah cukai seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.
“Penganjuran seminar ini dilihat sebagai satu platform untuk menjelaskan berkenaan Cukai Keuntungan Modal (CKM) yang diperkenalkan Januari lepas.
“Seminar ini turut membuka ruang komunikasi dua hala antara LHDN dan para peserta menerusi maklum balas serta cadangan dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan LHDN sebagai agensi pemudah cara kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu.
LHDN menjemput pembayar cukai, pengamal percukaian, akauntan, perancang kewangan dan orang ramai yang berminat untuk menyertai seminar ini dan mendaftar menerusi pautan https://forms.gle/TyRJmr7PJc7D9Msg6.
Setiap peserta adalah layak untuk mendapat mata CPD mengikut kaedah seminar yang dipilih.
Tuntutan yuran penyertaan seminar boleh dimohon dengan Pihak Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Pertanyaan dan maklum balas berhubung seminar itu boleh dikemukakan kepada meja bantuan SCKM 2024 dengan menghantar e-mel ke seminarckm2024@gmail.com. – Bernama