PAKAN: Program Bantuan Baja Sawit Dan Lada (BBKSL) bertujuan menggurangkan bebanan yang dihadapi oleh pekebun kecil kelapa sawit dan lada berikutan kos baja dan bagi mencapai hasil yang lebih
tinggi.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pada tahun ini, seramai 63 pekebun kecil kelapa sawit dan 72 pekebun lada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan menerima bantuan baja.
“Sebanyak 756 guni baja sawit yang bernilai RM71,064 diagihkan kepada 63 orang pekebun kecil kelapa sawit.
“Sementara itu, sebanyak 864 guni baja lada bernilai RM165,024 diagihkan kepada 72 orang pekebun lada,” katanya.
Mawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan berkata demikian di majlis simbolik penyerahan BBKSL Daerah Pakan bertempat di Pejabat Pertanian Daerah Pakan, semalam.
Katanya, program ini merupakan kesinambungan daripada program yang sama iaitu Fasa 1, 2 dan 3 pada 2021 yang telah ditangguhkan berikutan harga baja yang melambung tinggi dan lebih daripada harga tender.
“Pada 2021, seramai 82 pekebun telah menerima bantuan baja sawit daripada 145 penerima yang tersenarai.
“Sebanyak 984 beg baja telah diagihkan dengan kos RM72,276 pada tahun tersebut.
“Namun, bagi pekebun lada pada tahun tersebut, pengagihan bantuan baja terpaksa ditangguhkan berikutan harga baja yang melambung tinggi daripada harga yang telah ditender,” katanya.
Jelasnya, program tersebut telah disambung semula pada tahun ini dan bantuan baja telah diagihkan kepada para penerima yang belum lagi menerima bantuan pada 2021.
Dalam pada itu, katanya, setiap seorang penerima bantuan bakal menerima sebanyak 12 beg 50 kilogram baja.
“Sebanyak 67 rumah panjang di DUN Pakan yang berada di bawah seliaan Pejabat Pertanian Daerah Sarikei dan Pejabat Pertanian Daerah Pakan menikmati bantuan ini.
“Kita berharap bantuan ini dapat meningkatkan produk dan hasil pertanian para penerima bantuan pada masa akan datang,” katanya lagi.
Turut hadir ialah Pegawai Pertanian Bahagian Sarikei Freddy Paul Giang dan Pegawai Menguasa Pejabat Pertanian Daerah Pakan Raymond Jally Lembang.
Oleh Earl Anek