ADENG IDRUS
LAWAS: Sumbangan bantuan pek makanan untuk penduduk Ba’kelalan mula digerakkan semalam yang melibatkan Ba’kelalan, Long Sukang dan Long Semadoh.
Bagi kawasan Ba’kelalan, sejumlah 4,742 bantuan pek makanan disumbangkan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Lawas dan Ketua Cawangan Parti PBB Ba’kelalan Dato Henry Sum Agong.
Henry Sum juga menjelaskan sumbangan untuk penduduk di Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan juga disalurkan terus pada semalam dan hari ini.
Pada masa sekarang, bantuan sumbangan adalah menyeluruh tanpa memilih parti atau sebagainya.
Oleh itu beliau terus merayu agar penduduk di Ba’kelalan untuk terus mematuhi arahan PKP sehingga 14 April ini.
Turut hadir menyaksikan agihan sumbangan ialah Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Polis Daerah Lawas.
Menyentuh mengenai bantuan perihatin kerajaan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Henry Sum menasihatkan permohonan baru dibuat melalui atas talian ke Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Pada masa yang sama, agensi kerajaan lainnya seperti Pejabat Penerangan boleh membantu mereka yang jauh di pendalaman dan tidak tahu menggunakan pendaftaran secara atas talian.