KUCHING: Program TVS Spotlight Gawai Kaamatan 2024 yang dianjurkan TVS menjadi salah satu platform penting bagi merapatkan silaturahim antara komuniti berbilang kaum selain menjadi lambang perpaduan di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Kushairi Abang berkata, program yang diadakan sempena perayaan Hari Gawai dan Kaamatan itu adalah untuk merayakan kebudayaan dan tradisi yang kaya dalam komuniti di Sarawak.
”Ini adalah satu detik yang sangat bermakna, apabila kita dapat berkumpul sebagai satu komuniti untuk meraikan budaya dan tradisi yang kaya dalam komuniti kita.
”Selain itu, marilah kita mengambil peluang ini untuk mengenang dan menghargai segala pencapaian yang telah kita capai.
”Marilah kita terus berusaha dengan penuh semangat dan dedikasi untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
”Dengan kerjasama dan komitmen yang teguh, saya yakin kita akan terus maju dan cemerlang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Pegawai Media TVS, Mohamad Sardon Zainal semasa majlis TVS Spotlight Gawai Kaamatan 2024 yang diadakan di salah sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Acara tersebut turut dihadiri oleh lembaga pengarah, pihak berkepentingan, rakan kongsi dan kumpulan produksi dan pihak media.
Sementara itu, TVS menerusi satu kenyataan media berkata program itu turut diadakan bagi menghargai semua komitmen dan pencapaian TVS dalam menghasilkan kandungan yang pelbagai dan menarik sepanjang musim perayaan Gawai Dayak pada tahun ini.
”Acara ini merupakan salah satu acara penting TVS dalam memupuk persefahaman silang budaya yang melambangkan perayaan perpaduan dan kesyukuran, menghargai komitmen berterusan TVS terhadap matlamatnya untuk menekankan kehidupan melalui kandungan yang pelbagai dan menarik sepanjang Gawai Dayak tahun ini,” menurut kenyataan itu.
Oleh Rynna Sha’erra