PETRA JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan dengan perdagangan karbon akan dibentangkan di Dewan Rakyat akhir tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata Kabinet memutuskan untuk membentangkan RUU itu tahun ini susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Insya-Allah menjelang akhir tahun RUU (Rang Undang-undang) akan dibentangkan (di Dewan Rakyat),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan persidangan dan pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Kerajaan Persekutuan sedang giat merangka RUU baharu berkaitan perdagangan karbon agar selaras dengan RUU Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 di Sarawak.
“RUU yang pertama ini akan merangkumi undang-undang dan peraturan malah termasuk skim cukai dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata wilayah Sarawak agak maju dari segi undang-undang yang mengawal selia mengenai perdagangan karbon yang telah diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri.
“Satu-satunya cabaran sekarang ialah di peringkat kebangsaan.
“Bagaimanapun, dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini, Perdana Menteri, telah mengarahkan saya meneliti perkara ini,” katanya.
Sarawak meluluskan RUU Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 pada sidang DUN November lalu, menjadikannya yang pertama di Malaysia berbuat demikian.
Oleh Nur Ain Otsman