KUCHING: Projek pembinaan gantian penuh 12 bilik darjah dan lain-lain kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Haji Baki kini sehari mendahului jadual asal dengan status kerja sudah mencapai hampir 91.83 peratus.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek tersebut dijangka siap bulan depan.
Katanya, projek yang menelan kos sebanyak RM18.1 juta itu adalah untuk menggantikan bangunan asal struktur kayu dan separa kayu yang sudah usang.
“Projek ini direka bentuk dengan menyediakan kemudahan satu unit blok pentadbiran dan akedemik yang memiliki 12 bilik darjah, pejabat guru, bilik sakit dan pergigian, bilik komputer, perpustakaan, bilik pendidikan seni, bilik sains dan surau.
“Selain itu, projek ini juga menyediakan satu unit gelanggang terbuka berbumbung, rumah sampah, kantin, pondok pengawal, bilik elektrik, rumah pam, tiang bendera, laluan pejalan kaki berbumbung, tempat letak basikal dan lain-lain kerja berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau kemajuan kerja projek pembinaan gantian penuh 12 bilik darjah dan lain-lain kemudahan di SK Jalan Haji Baki di sini, hari ini.
Ahmad Maslan selepas melihat kemajuan projek tersebut juga menyatakan reka bentuk sekolah tersebut ibarat ‘kolej univerisiti’.
“Tadi bila saya sampai, saya ingatkan projek bina kolej,” katanya.
Dalam pada itu, Wakil Pegawai Penguasa (Utama)Pasukan Projek Khas 2 Jabatan Kerja Raya (JKR), Norzahamawatty Md Desa berkata, sebanyak 25 projek bina baharu dan naik taraf sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang dijalankan.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga projek dijangka siap tahun ini dan SK Haji baki adalah salah satu.
“Tiga akan siap tahun ini, iaitu SK Padawan dan SMK Sri Sadong dan sekolah ini (SK Jalan Haji Baki),”katanya.
Oleh Shahrul Qaizat