PERSATUAN Tinju Negeri Sarawak (SABA) mungkin akan melaksanakan proses saringan kepada setiap petinju sebaik sesi latihan bermula kelak.
Pendekatan tersebut penting dalam usaha memastikan para petinju bebas dari sebarang gejala penyakit berbahaya dengan kebimbangan penularan virus Covid-19.
Presiden SABA, Dato Rahman Lariwoo memberitahu, pihaknya tidak terkecuali melaksanakan proses sedemikian.
“Kita mengutamakan kesihatan para pentinju yang ada. Oleh demikian, proses saringan kepada para petinju mungkin dilakukan.
“Tidak hanya itu, proses sedemikian rupa juga akan dilakukan terhadap jurulatih dan pegawai yang terlibat dalam pembentukan pasukan untuk persiapan menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020,” ujar beliau.
Untuk rekod skuad tinju telah berjaya meraih tiga pingat ketika berlangsung SUKMA Perak 2018 iaitu satu emas dan dua gangsa.
Pingat emas disumbangkan oleh Dealoniel Mcdelon Bong (60kg) Manakala, dua pingat gangsa masing-masing disumbangkan oleh Christyuden Anak Ripoh (69kg) dan Wilson Berayin Anak Sumbang (56kg).
Oleh Faizal Bujang