SARIKEI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) adalah parti politik berbilang kaum sejak penubuhannya dengan logo yang turut mewakili tiga kaum utama di Sarawak.
Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata, parti politik tertua yang diasaskan pada 1959 itu, memperjuangkan rakyat serta kepentingan Sarawak.
“Sejak penubuhannya pada 1959, SUPP telah berjuang demi kepentingan rakyat di negeri ini.
“Nenek moyang kita telah berjuang keras untuk mendapatkan kemerdekaan Sarawak dan meningkatkan ekonomi Sarawak serta kesejahteraan rakyat.
“Oleh itu, sebagai ahli generasi baharu SUPP, kita harus meneruskan matlamat dan objektif utama parti ini,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.
Tiong Sii yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Sarikei berkata demikian di upacara menaikkan bendera SUPP sempena sambutan ulang tahun SUPP ke-65 bertempat di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei dan Pusat Khidmat Repok, semalam.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Premier Sarawak yang juga Presiden SUPP Sarawak, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian kerana memimpin dan memacu SUPP untuk terus berkembang dan memperkukuhnya ke arah prospek yang lebih baik.
“Semua pemimpin dan ahli SUPP harus bekerjasama untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Kita semua perlu berusaha untuk membangunkan SUPP dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kini ekonomi sedang mengalami kemerosotan.
“Kita mesti belajar mengurus ekonomi dengan baik.
“Pengguna mesti bijak berbelanja dan berbelanja secara berhemat,” katanya lagi.
Turut hadir ialah ahli-ahli SUPP Cawangan Sarikei.
Oleh Earl Anek