PUTRAJAYA: Suruhanjaya Tenaga (ST) akan menawarkan kuota solar sebanyak 2,000 MWac (MW) melalui proses bidaan kompetitif di bawah program solar berskala besar (LSS) yang dinamakan LSS – Peralihan Tenaga SuRiA (LSS PETRA).
ST menerusi kenyataan memaklumkan program Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu merupakan satu daripada inisiatif kerajaan dalam menyokong peralihan tenaga dan pengurangan jejak karbon dengan meningkatkan sumber tenaga boleh baharu (TBB) kepada 70 peratus pada 2050.
Suruhanjaya itu memaklumkan empat pakej serta julat kuota ditawarkan bagi memberi peluang penyertaan serta menggalakkan penglibatan pemaju Bumiputera.
“Loji-loji janakuasa solar di bawah program LSS PETRA ini dijadual mula beroperasi pada 2026,” menurut kenyataan itu.
ST memaklumkan pakej satu dengan jumlah kuota 250MW melibatkan julat kapasiti 1MW hingga < 10MW, pakej dua dengan kuota 250MW melibatkan julat kapasiti ≥10MW hingga < 30MW.
Pakej tiga pula dengan jumlah kuota 1,000MW melibatkan julat kapasiti ≥30MW hingga 500MW. Ketiga-tiga pakej itu adalah untuk loji janakuasa solar atas tanah dan bangunan.
Pakej empat merupakan loji janakuasa solar terapung dengan kuota 50MW melibatkan julat kapasiti 10MW hingga 500MW.
Menurut ST pakej satu dibuka kepada syarikat atau konsortium yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan ekuiti bumiputera dan mendapat Sijil Akuan Status PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana) daripada SME Corp Malaysia.
Pakej dua pula dibuka kepada syarikat atau konsortium yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan ekuiti Bumiputera atau konsortium yang terdiri daripada sekurang-kurangnya satu syarikat bumiputera yang diperbadankan di Malaysia dan syarikat asing dengan pegangan ekuiti Bumiputera dalam konsortium sekurang-kurangnya 51 peratus.
“Pakej tiga dan empat dibuka kepada syarikat yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan ekuiti tempatan atau konsortium yang terdiri daripada sekurang-kurangnya satu syarikat tempatan yang diperbadankan di Malaysia dan syarikat asing dengan pegangan ekuiti tempatan dalam konsortium sekurang-kurangnya 51 peratus,” menurut kenyataan itu.
ST memaklumkan program LSS PETRA memberi peluang kepada syarikat bumiputera untuk terlibat dalam sektor tenaga dan bersaing secara sihat.
Sehubungan itu, syarikat atau konsortium yang mempunyai pengalaman dalam melaksanakan projek-projek yang berkaitan dengan penjanaan tenaga, memiliki keupayaan teknikal dan kewangan untuk membangunkan, membiayai dan mengoperasi loji janakuasa solar dipelawa untuk mengambil bahagian dalam proses bidaan kompetitif mengikut kriteria yang ditetapkan dalam dokumen permintaan untuk cadangan (RFP).
Dokumen RFP akan dijual mulai 1 hingga 16 April ini secara dalam talian melalui laman sesawang ST iaitu www.st.gov.my.
Maklumat lanjut tentang pembelian dokumen RFP boleh didapati melalui Notis Pemakluman menerusi laman sesawang ST. – Bernama