KETUA Jurulatih Skuad Bola Sepak Sukma Sarawak, Ahmad Fairuz Mohd. Yunus memberitahu, terdapat beberapa pemain dari skuad Piala Belia dan Piala Presiden Kuching FA akan diuji sebaik sesi latihan bermula kelak.
Usaha ke arah itu yang bertujuan mengenal pasti tonik tambahan untuk memperkuatkan jentera di beberapa posisi bagi menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 yang akan berlangsung 6 hingga 14 Mac tahun hadapan.
“Ada beberapa pemain dari skuad Piala Belia dan Piala Presiden Kuching FA yang akan kita uji apabila sesi latihan bermula kelak.
“Kita tahu ramai pemain yang berpotensi sekali gus pernah beraksi di temasya tersebut beberapa tahun lalu,” ujar Ahmad Fairuz yang lebih sinonim dipanggil Apai.
Ini ditambah lagi dalam keadaan saingan membabitkan Liga Piala Belia dan Piala Presiden yang dibatalkan seperti yang disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.
Oleh demikian katanya, diharap perancangan tersebut berjalan lancar sekali gus dapat merealisasikan keinginan membentuk pasukan yang benar-benar mantap.
Dalam pada itu, Ahmad Fairuz mengakui pihaknya masih menunggu ‘lampu hijau’ sebelum boleh turun ke padang memulakan latihan seperti biasa.
“Setakat ini belum ada ketetapan tarikh diberikan untuk kami memulakan latihan sepenuhnya.
“Apa yang pasti, latihan selepas ini pastinya sedikit berbeza kerana perlu mengikuti Prosedur Operasi Standart (SOP) yang ditetapkan,” tambah beliau lagi.