Filem pendek ‘Hantu Pon X Boleh Resign’ terap sentuhan komedi ala Mamat Khalid

Facebook
WhatsApp
BARISAN pelakon filem pendek bergenre seram komedi berjudul `Hantu Pon X Boleh Resign’.

IPOH,  26 Oktober: Pengarah filem tempatan Mohd Asrul Nizam Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Paklong Zam terus mengembangkan kreativiti dalam bidang perfileman menerusi filem pendek bergenre seram komedi berjudul ‘Hantu Pon X Boleh Resign’.

Filem terbitan ECCO Studio Production itu mengambil inspirasi kreatif daripada filem-filem Allahyarham Mohamad Mohamad Khalid atau Mamat Khalid, yang terkenal dengan keunikan karakter masyarakat tempatan, komedi satira dan dialog bersahaja dalam karyanya.

“Pendekatan ini bertujuan menghasilkan sebuah karya yang bukan sekadar bergantung pada elemen kejutan dan penampilan hantu, tetapi turut mempunyai daya tarikan melalui keunikan watak serta situasi yang menghiburkan, walaupun menggunakan pelakon baharu serta cuba menerapkan loghat Perak,” katanya.

Menjalani penggambaran pada 5 dan 6 Oktober lepas dengan sokongan dana PORT@IPOH, Mohd Asrul Nizam berkata karya berkenaan menggabungkan elemen seram, komedi situasi dan gelagat watak yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.

Katanya menerusi karya yang berdurasi 30 minit itu beliau memberi penekanan kepada kekuatan karakter, dialog, suasana dan humor yang tercetus secara semula jadi daripada jalan cerita.

Katanya penerbitan Hantu Pon X Boleh Resign turut mencerminkan usaha berterusan ECCO Studio Production untuk menghasilkan kandungan kreatif yang mempunyai identiti tempatan, di samping membuka peluang kepada pengembangan bakat dalam bidang pengarahan, lakonan dan produksi audiovisual.

“Dukungan dana PORT@IPOH amat penting dalam menyokong penghasilan karya kreatif tempatan, khususnya dengan memberi peluang kepada penggiat seni merealisasikan idea dan membawa hasil kreativiti mereka kepada penonton,” katanya.

Ditanya mengenai tayangan filem, beliau berkata karya itu akan ditayangkan secara “wayang pacak” bagi menghargai Komuniti Kampug Perepat, Klang yg banyak memberi kerjasama, selain melalui saluran YouTube.

“Kita juga sedang cuba meneroka kerjasama dengan AE Cinema di Seri Iskandar dan kita menjangakan filem ini mula ditayangkan sekitar November nanti,” katanya. – Bernama