KUCHING: Nasib seorang hero yang cedera parah ketika cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak terperangkap dalam insiden kebakaran pada Ogos tahun lepas, mendapat perhatian Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari yang diwakili oleh Ketua Setiausaha Politiknya, Fazzrudin Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada keluarga sang hero, Mohamad Syafiq Mohamad Ali Hanaffiah, 34.
Pada 28 Ogos lalu, Mohamad Syafiq mengalami cedera parah setelah terkena renjatan elektrik dan api yang marak ketika cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak bernama Zayyan Nazeem Zainal Abidin yang terperangkap dalam insiden kebakaran melibatkan lima rumah di Lorong 16, Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa, di sini.
Menurut Fazzrudin, sumbangan tersebut bertujuan untuk meringankan beban ahli keluarga Mohamad Syafiq bagi menanggung kos rawatan atau pemulihan sekali gus menyediakan keperluannya sepanjang tempoh penyembuhan.
“Pada pagi ini kita telah sama-sama melawat saudara Syafiq, seorang mangsa atau hero yang telah terlibat dalam kemalangan kebakaran ketika cuba menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
“Sifat berani dan tidak mementingkan diri beliau hingga meletakkan nyawa orang lain melebihi diri sendiri ini juga telah mendapat perhatian Yang Amat Berhormat Premier.
”Ekoran itu, YAB Premier telah memanggil saya dua hari yang lepas dan beliau mewakilkan saya untuk memberi sumbangan peribadi dari beliau kepada saudara Syafiq di atas sifat keberaniannya katanya ketika ditemui media selepas menyerahkan sumbangan itu di Stutong Height Apartment Phase 2, di sini, pagi tadi.
Fazzrudin berkata, kerajaan Sarawak melalui agensi-agensi berkaitan juga tidak lalai dalam memberikan bantuan dari segi barang keperluan dan sebagainya bagi membantu meringankan beban keluarga Mohamad Syafiq mengharungi dugaan tersebut.
Katanya, ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang juga sentiasa prihatin terhadap perkembangan Mohamad Syafiq termasuk menguruskan temu janji bersama pakar fisioterapi ke rumah dan juga keperluan lain.
”Saya yakin agensi-agensi kerajaan yang lain juga pantas dalam memberi bantuan asalkan maklumat yang disampaikan atau diterima adalah betul.
”Justeru, ia bukan tanggungjawab kerajaan sahaja dan ia merupakan tanggungjawab masyarakat untuk memberi maklumat kepada agensi-agensi atau pihak berkaitan supaya kita dapat mengambil tindakan,” katanya.
Sumbangan diserahkan oleh Fazzrudin kepada ibu Syafiq, Julia Jemat dan disaksikan oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak, Kho Teck Wan.
Oleh Rynna Sha’erra