SIBU: Sebagai menyahut seruan Hospital Sibu, Kumpulan Ta Ann menyumbang sejumlah RM164,300 kepada Hospital Sibu untuk membeli dua unit katil pesakit trauma hidraulik dan satu alat ventilator pengangkutan pintar mudah alih mewah bagi mengatasi masalah semasa keadaan kritikal kerana wabak Covid-19.
Ketua jabatan kecemasan dan trauma Hospital Sibu, Dr. Chan Swee Ping berkata, jabatan kecemasan sebagai barisan hadapan hospital itu memerlukan lebih banyak katil sebagai persediaan menampung jumlah pesakit susulan wabak Covid-19 sekarang.
“Pesakit Covid-19 akan menghadapi sesak nafas dan mereka yang mengalami masalah pernafasan teruk perlu menggunakan ventilator bagi membantu mereka bernafas secara normal.
“Ventilator mewah ini boleh digunakan oleh orang dewasa, kanak-kanak dan juga bayi baru lahir.
“Sekiranya diperlukan, ia dapat memberikan pengudaraan sehingga 9 jam untuk membantu pesakit dengan pemindahan jarak jauh ke Hospital Umum Sarawak,” katanya.
Dr. Chan menambah, ramai pesakit di kawasan tengah sedang dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan.
“Oleh itu, Hospital Sibu memerlukan peralatan perubatan tambahan yang berkaitan untuk memastikan pesakit boleh dirawat dengan baik.
“Derma ini sudah pasti memberi kita sokongan yang besar dalam tempoh kritikal ini.
“Bagi pihak Hospital Sibu, saya merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Ta Ann atas sumbangan peralatan perubatan ini yang pasti memberi manfaat kepada masyarakat Sibu,” katanya.