ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Sarawak tidak merekodkan sebarang kes positif Covid-19 baharu semalam menyaksikan negeri ini merekodkan tujuh hari berturut-turut tiada kes baharu positif Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ini menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak setakat semalam kekal 552 kes.
“Dimaklumkan juga bahawa satu kes baharu yang telah sembuh dan discaj dari hospital dilaporkan semalam dengan kes tersebut dari Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Setakat hari ini, jumlah keseluruhan kes postif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj adalah seramai 520 orang atau 94.20 peratus,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, di sini, semalam.
Menurutnya, seramai 14 orang yang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan enam kes masih menunggu ujian makmal.
“Mengenai perkembangan keputusan Aktiviti Pengesanan Secara Aktif (ACD) di Belawai, Tanjung Manis, ia menunjukkan semua 339 sampel yang telah diambil adalah negatif.
“Manakala, sehingga hari ini sejumlah 45,710 Home Surveillance Order telah dikeluarkan dan sebanyak 35,640 telah tamat menjalani kuarantin rumah dengan seramai 10,070 Home Surveillance yang masih aktif,” jelasnya.