KUALA LUMPUR: Perancis menewaskan Australia 3-2 untuk melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.
Pada perlawanan suku akhir semalam, Noe Jouin menjaringkan dua gol untuk memberikan inspirasi kepada pemenang pingat gangsa edisi lepas, Perancis untuk bertemu Sepanyol yang menundukkan Pakistan 4-2 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.
Dikenali sebagai “Les Blues”, Perancis mempamerkan dominasi mereka apabila Noe menyempurnakan satu pukulan sudut penalti pada minit ke-17 sebelum Gaspard Denis menjaringkan satu gol padang pada minit ke-21.
Noe seterusnya menjaringkan satu lagi gol menerusi pukulan sudut penalti untuk pasukan bimbingan Matthias Dierckens memaksa Australia melakukan beberapa siri serangan sebelum berjaya memecah kebuntuan apabila Cooper Burns menjaringkan dua gol padang pada minit ke-43 dan ke-48.
Bagaimanapun, Australia gagal untuk terus memecahkan benteng pertahanan Perancis untuk mencari gol penyamaan.
Dalam sidang media selepas perlawanan, Matthias mengakui anak-anak buahnya melakukan kesilapan kerana membuka peluang kepada Australia untuk bangkit dan merapatkan jurang gol pada separuh masa kedua.
“Kami berhak sepenuhnya ke atas kemenangan ini. Saya fikir anak-anak buah saya memberikan tentangan hebat kepada Australia.
Mereka bertahan dengan baik dan saya sangat gembira dengan kemenangan ini tetapi saya saya fikir kami boleh menang lebih besar dalam perlawanan ini, mungkin 4-1 jika kami tidak melakukan kesilapan, saya fikir Australia mungkin tidak akan bangkit dan kami nyaris perlu menghadapi penentuan pukulan penalti,” katanya.
Sementara itu Sepanyol mengakhiri penantian 18 tahun untuk mara ke separuh akhir JWC selepas menundukkan Pakistan 4-2 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.
Pakistan hanya menunggu selama 12 minit untuk membuka jaringan menerusi gol padang Abdul Hannan Shahid tetapi pasukan Junior Red Sticks berjaya bangkit selepas waktu rehat menerusi pukulan sudut penalti masing-masing oleh Cabre Verdiell Pol pada minit ke-37 dan Aleix Bozal pada minit ke-38.
Sepanyol yang merupakan pasukan nombor enam dunia terus mencetak gol pada minit ke-41 menerusi gol padang Pablo Espino tetapi Pakistan merapatkan jurang jaringan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Sufyan Khan pada minit ke-43 sebelum Cabre menyumbat gol keempat menerusi pukulan sudut penalti, dua minit kemudian.
Kapten Sepanyol Andreas Rafi yang gembira selepas pasukannya mara ke separuh akhir berharap momentum kemenangan ini akan juga membawa mereka untuk merangkul kejuaraan JWC.
“Ia satu kejayaan hari ini, tetapi kami mahu lebih lagi. Kami beraksi dengan baik, kami mengatasi kesukaran selepas Pakistan mendahului 1-0, kami tenang dan itulah kuncinya, “ katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Sepanyol Oriol Torras Puig berkata beliau perlu mengkaji corak permainan Perancis untuk melangkah ke final.
“Kami perlu menyaksikan video perlawanan Perancis kerana kami tidak tahu langsung dan tiada maklumat mengenai Perancis, sebelum ini kami hanya memberi perhatian kepada lawan kumpulan kami dan kemudian Pakistan, kami hanya ada dua hari untuk melakukan persiapan, saya tidak pasti sama ada ia mencukupi,” katanya.
Terdahulu, Jerman menyingkirkan juara bertahan Argentina 2-1 untuk mara ke separuh akhir bertemu India yang menewaskan Belanda 4-3. – Bernama