KUCHING: Agensi media di negeri ini sewajarnya mencontohi Utusan Sarawak atas usaha murni agensi tersebut bagi membantu dua organisasi dan persatuan yang memerlukan melalui satu program amal iaitu ‘Sarawak’s 60 Iconic Businesses’, kata Dato Jonathan Chai Voon Tok.
Pengerusi Persekutuan Lembaga Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian itu berkata, program amal yang dianjurkan Utusan Sarawak ini menunjukkan komitmen syarikat terbabit dalam menabur khidmat kepada komuniti.
Katanya, media memainkan peranan penting dalam mempromosi dan menyebarkan kesedaran di dalam komuniti mengenai keperluan sesetengah persatuan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bagi Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA).
“Besarlah harapan saya agar pihak korporat tampil beramai-ramai menyertai program yang dianjurkan Utusan Sarawak ini bagi tujuan amal.
“Pada pendapat saya, usaha ini sangatlah bermakna dan wajar dijadikan contoh kepada setiap agensi media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis ‘Sarawak’s 60 Iconic Businesses’ di Ibu Pejabat Utusan Sarawak di sini, hari ini.
Program yang dianjurkan sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Utusan Sarawak ini akan mengadakan satu acara makan malam yang bakal dihadiri oleh pelbagai syarikat ‘ikonik’ seluruh Sarawak.
Dana yang terkumpul melalui program itu nanti, sebahagiannya akan disalurkan kepada Lembaga Pengurusan Sekolah SJK Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, dan PERKATA.
Mengulas lanjut mengenai dana yang diperlukan oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), beliau menyatakan bahawa dana yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak RM50 juta adalah tidak mencukupi untuk menampung kesemua 1,300 SJKC seluruh negara.
“Oleh itu, saya berterima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana turut menyediakan peruntukan kepada SJKC di negeri ini, namun peruntukan dari kerajaan Sarawak adalah untuk membina semula dan penempatam semula SJKC termasuklah Sekolah Rendah Bantuan Cina, bukan untuk penyelenggaraan.
“Dana RM50 juta ini memang tidak mencukupi untuk menanggung kesemua SJKC. Jadi (kerajaan) Persekutuan kami menjaga 57 Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian. Sekiranya antara 57 sekolah ini memerlukan bantuan, kami akan membantunya.
“Kerajaan Persekutuan biasanya tidak menyediakan dana untuk membina semula atau menempatkan semula kecuali ada kes yang luar dari kebiasaan. Jadi Sekolah Rendah Bantuan Cina terpaksa mencari dana kami sendiri melalui bantuan untuk tujuan tersebut.
“Oleh itulah saya menyatakan bahawa dana dari Kerajaan Persekutuan ini tidak cukup untuk menampung kesemua sekolah ini. Di sinilah pihak komuniti memainkan peranan dengan membantu kami dari segi kewangan.
“Saya berbesar hati kerana Utusan Sarawak kini menjadi sebahagian daripadanya, kami memerlukan lebih banyak pihak korporat bertindak seperti Utusan Sarawak untuk membantu kami,” katanya.
Pengetua PERKATA, Wendy Mandau pula merakamkan penghargaannya kepada Utusan Sarawak diatas usaha murni agensi tersebut, dalam membantu PERKATA terutamanya dari segi kewangan melalui program tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Utusan Sarawak kerana membantu kami dalam memperkenalkan perkhidmatan yang disediakan kami untuk kumpulan sasar iaitu kanak-kanak berkeperluan khas.
“Usaha Utasan Sarawak adalah usaha yang baik di dalam membantu kami meringankan beban yang dipikul terutamanya dari segi kewangan.
“PERKATA Sarawak memerlukan sokongan daripada semua pihak supaya kami dapat terus memberi perkhidmatan pendidikan dan lathan kepada kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat