KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke China sejak pelantikannya pada 2 Disember 2022.
Lawatan Fadillah ke Beijing dan Shanghai esok hingga 19 November ini akan mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan kapasiti dalam bidang komoditi, khususnya dalam mempromosikan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di peringkat global.
“Tahun ini, Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif manakala pada 2024, kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
“Lawatan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai program dan aktiviti sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik ini,” menurut Kementerian Luar dalam kenyataan, hari ini.
Semasa lawatan di Beijing, Fadillah dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China Li Qiang dan mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri China Liu Guozhong.
“Pertemuan ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya.
Semasa di Shanghai, Fadillah akan menerima kunjungan hormat daripada Datuk Bandar Shanghai Gong Zheng dan menghadiri mesyuarat meja bulat peringkat tinggi dengan pemegang taruh utama dan pemimpin industri minyak sawit.
Fadillah juga akan mengambil peluang ini untuk menyantuni diaspora Malaysia di Beijing dan Shanghai.
Beliau akan diiringi oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas.
Pada 2022, nilai eksport produk agrikomoditi Malaysia ke China menyumbang sebanyak 12.8 peratus daripada jumlah eksport komoditi pertanian Malaysia di pasaran antarabangsa, dengan nilai RM26.46 bilion, peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding 2021.
Nilai eksport produk berasaskan sawit ke China pada 2022 adalah RM16.41 bilion manakala nilai eksport minyak sawit Malaysia ke China pada tahun yang sama adalah sebanyak RM8.44 bilion. – Bernama