BLETCHLEY PARK (Britain): Pengisytiharan mengenai keselamatan kecerdasan buatan (AI) diumumkan pada sidang kemuncak di sini, semalam.
Di bawah deklarasi itu, 28 negara dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju mengenai keperluan usaha global terbaharu dalam memastikan AI dibangun dan dimanfaatkan dengan cara selamat dan bertanggungjawab, lapor Xinhua.
AI menawarkan pelbagai kemungkinan dan potensi untuk meningkatkan kesejahteraan manusia, menggalakkan keamanan dan kemakmuran, menurut kerajaan Britain dalam kenyataan yang mengiringi deklarasi itu.
Bagaimanapun, perwakilan bersetuju bahawa risiko besar mungkin timbul akibat penyalahgunaan AI yang disengajakan, arahan ke atas AI yang canggih, khususnya membabitkan risiko keselamatan siber, bioteknologi dan maklumat salah.
Pengisytiharan itu menyatakan bahawa risiko itu “paling wajar ditangani melalui kerjasama antarabangsa”.
Dalam pertemuan dua hari itu, wakil dari Amerika Syarikat, Britain, EU, China, India dan lain-lain juga membincangkan risiko dan peluang yang timbul dari perkembangan AI yang pesat.
Menurut Britain, Korea Selatan bersetuju menjadi tuan rumah bersama sidang kemuncak skala mini secara maya mengenai AI dalam enam bulan akan datang, manakala Perancis akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak setahun dari sekarang. – Bernama – Xinhua