COPENHAGEN: Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) pada Khamis mengumumkan bahawa wabak salmonella yang dikaitkan dengan daging ayam kini melibatkan di 16 negara, lapor Agensi Berita dpa.
Setakat ini, terdapat 335 kes disahkan di 15 negara Eropah, serta Amerika Syarikat antara Januari dan 24 Oktober, menurut ECDC.
Menurut penilaian itu, terdapat 18 kes direkodkan di Jerman, sembilan pesakit di tiga negara lain terpaksa dirawat di hospital, manakala seorang rakyat Austria meninggal dunia akibat penyakit itu.
ECDC dan Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah (EFSA) memaklumkan bakteria serupa telah ditemui dalam sampel daging ayam dan kebab.
Sampel bakteria ditemui pada tujuh pengeluar di Poland dan satu di Austria, tetapi tiada bukti mengenai pencemaran mikrobiologi di kemudahan pengeluaran mereka. – Bernama – dpa