KUALA LUMPUR: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari 2024.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan memaklumkan pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, hari ini.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan.
Mesyuarat itu turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja hari ini, yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.
Kenyataan itu menyebut menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja itu telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“YAB Perdana Menteri juga telah dimaklumkan,” kata Syed Danial. – Bernama