KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menahan seramai 136 pendatang tanpa izin termasuk enam wanita yang menyewa beberapa unit kondominium termasuk unit ‘penthouse’, di Jalan Munshi Abdullah di sini, awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan dan aduan orang awam yang mendakwa jumlah warga asing terlalu ramai di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan.
Menurutnya, pendatang tanpa izin yang ditahan terdiri daripada 130 lelaki dan enam wanita dari Bangladesh, Indonesia, India, Nepal, Pakistan dan Thailand berusia 20 hingga 70 tahun kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan
“Siasatan awal kita mendapati warga asing ini menyewa di dua blok kondominium yang mempunyai tiga atau empat bilik satu rumah dengan dihuni sekurang-kurangnya lapan orang.
“Ada yang ditahan tinggal di emper (penthouse) dan ini menunjukkan kemampuan mereka agak besar,” katanya kepada pemberita selepas operasi terbabit, awal pagi tadi.
Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dan memanggil pemilik rumah dan pengurusan kondominium bagi mengenal pasti sama ada rumah tersebut disewa majikan atau warga asing itu sendiri.
Difahamkan, kebanyakan warga asing tersebut menyewa bilik di kondominium itu bermula RM500 hingga RM800 sebulan.
Ruslin berkata kondominium tersebut pernah diserbu sebelum ini dan beberapa pendatang tanpa izin ditahan.
Beliau berkata, seramai 3,016 warga asing diperiksa dalam serbuan selama empat jam bermula 1 pagi dengan melibatkan 338 anggota Imigresen dari Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur.
Katanya, semua pendatang asing tersebut dibawa ke Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Ruslin berkata, sebanyak 7,169 operasi dilaksanakan pihaknya bermula Januari hingga 18 Oktober lepas dengan 48,656 pendatang tanpa izin dan 245 majikan ditahan. – Bernama